Senin, 03 Maret 2014

Artis Malaysia Dan Poligami Bahagian 1

Artis Malaysia Dan Poligami (Bahagian 1)

WALAUPUN berat diterima oleh kebanyakan wanita, poligami dibenarkan dalam Islam jika lelaki yang ingin melakukannya benar-benar layak.
Perkara ini tidak boleh dipertikaikan lagi namun satu yang tidak boleh dihalang, ia satu perkara yang menarik perhatian umum apatah lagi jika dilakukan oleh orang popular.
Dalam dunia hiburan tempatan, terdapat beberapa artis yang terbabit dengan poligami. Antaranya:
ALLAHYARHAM HJ MOHD RAJOLI MOHAMED ZAIN (M RAJOLI)
Pelakon veteran yang aktif berlakon sejak era lewat 70an ini disegani ramai kerana keupayaannya melakonkan apa sahaja watak terutama lelaki alim selain watak antagonis dan komedi.
M Rajoli telah berlakon ratusan drama dan lebih 37 filem termasuk Congkak, Cicakman, Anaknya Sazali, Darah Satria dan Mekanik.
Dalam kehidupan peribadi, beliau tidak pernah berahsia bahawa dia mempunyai 2 isteri iaitu Hassimah Mat Din dan Hajah Wan Chik Daud.
Pada 2008, negara dikejutkan dengan berita M Rajoli menghidap Lymphoma atau barah otak.
Akibat penyakit dan rawatan yang dijalani, beliau lumpuh hampir seluruh anggota dan hanya mampu bergantung kepada isteri-isteri beliau untuk menguruskan diri.
M Rajoli akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada usia 65 tahun kira-kira jam 10.45 malam, 17 September 2010 di Hospital Ampang, Selangor. Beliau yang meninggalkan empat anak bersama isteri pertama dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
……………………………………
SALIH YAACOB
Dalam ramai-ramai artis yang berpoligami, idola sejati lelaki Malaysia mungkin Salih Yaacob. Hal ini kerana, Salih bukan beristeri dua atau tiga tapi empat!
Gadis yang sudi dikahwini Salih pada 2011 sebagai isteri keempat pula bukan calang-calang, seorang penuntut sarjana bidang pengangkutan di sebuah IPT. Sedangkan ketika itu, Salih sudah pun mempunyai tiga isteri dan 11 anak.
Bagaimanapun menurut pelawak ini, dia berpoligami bukan semata-mata untuk berseronok. Sebaliknya dia turut cuba berlaku adil kepada semua isterinya.
“Ketiga-tiga isteri saya menerima pelbagai ujian dan dugaan akibat berpoligami. Walaupun sering dipandang negatif, ia tidak mematahkan semangat mereka.
“Kerana itu, saya ingin menghargai kekuatan mereka yang menyokong saya selama ini,” ujar Salih kepada sebuah akhbar sebelum mengumumkan keputusan untuk mencukupkan kuota isterinya.
Justeru sebagai membalas pengorbanan isteri-isterinya iaitu Norliza Mamat, 50, Noraha Hamat, 44, Nor Farawahida Sulaiman, 35, dan Samihah Sheikh Ali, 26, Salih bercadang untuk menghadiahkan setiap mereka sebuah rumah dalam satu kawasan di sekitar Lembah Klang.
Cadangan ini diluahkan Salih kerana isteri pertama, kedua dan ketiganya tinggal berdekatan satu sama lain di pangsapuri di Kg Pandan namun sudah tiada rumah kosong untuk dibeli atau disewa buat isteri keempatnya di sana.
Bagi Salih, jika tinggal berdekatan lebih mudahlah untuknya berlaku adil di samping menjenguk anak-anak.
Satu perkara yang harus diberikan pujian buat Salih adalah, hingga ke hari ini tiada sebarang perbalahan mahu pun isu diketahui timbul disebabkan dia berpoligami.
Oleh: REM RAMZI

Tidak ada komentar:

Posting Komentar